01 April 2010

Pakej RM100 dan Pakej RM50


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca Rumah Pink AinMaisarah.

Kak Ain ada menyimpan 80 naskah novel IMPIANA 3 versi manuskrip asal. Memang sengaja Kak Ain tidak menjual 80 naskah IMPIANA 3 ini di Pesta Buku tempohhari. Kak Ain tahu ramai pembaca Kak Ain yang tidak dapat hadir ke Pesta Buku tetapi masih mahu memiliki IMPIANA 3 ini.

Pihak pengurusan AinMaisarah sudahpun membuat dua pakej dengan harga yang menarik untuk para pembaca yang ingin memiliki ketiga-tiga buku terbaru AinMaisarah ini.


Ini adalah Pakej RM100.

Ini pula Pakej RM50.


Kak Ain cadangkan supaya membeli pakej RM100 kerana ianya lebih berbaloi kerana Kak Ain masukkan semua koleksi cerita novelcomel yang Kak Ain ada di dalam pakej tersebut. Sila lihat perbandingan barangan yang dibeli melalui pakej RM50 dan pakej RM100.


Jika sudah membuat pilihan pakej mana yang mahu dibeli. Sila ikuti langkah-langkah berikut. Dapatkan bantuan orang dewasa untuk membuat pembayaran.

LANGKAH 1 : BUAT PEMBAYARAN DAHULU

1) Jika anda memilih membuat bayaran secara bank-in, sila ke kaunter Maybank ataupun cari mana-mana ATM Maybank. Masukkan wang ke dalam akaun ini :

Rev Teen Enterprise - No Akaun Maybank : 514712301053

2) Jika anda memilih membuat bayaran online atau melalui Maybank2u. Masukkan wang online ke dalam akaun ini :

Rev Teen Enterprise - No Akaun Maybank : 514712301053

Wang Pos? Kali ini pihak pengurusan AinMaisarah tidak menerima bayaran melalui wang pos ataupun kiriman wang. Terdapat beberapa kes, wang pos tidak sampai dan kami terpaksa menanggung kerugian penghantaran buku.


LANGKAH 4 : HANTAR EMAIL KEPADA syaizul@meta-dome.com

Selepas membuat pembayaran, anda perlu menghantar emel kepada kami di syaizul@meta-dome.com

Ini maklumat yang kami mahukan di dalam emel tersebut. Pastikan semua maklumat betul.

1) Nama sebenar anda :
2) Nama yang mahu di tulis di atas novel :
3) Alamat penuh rumah anda :
4) Poskod rumah anda :
5) No telefon :
6) Berapa jumlah bayaran yang telah anda buat :
7) Kaedah pembayaran anda : Melalui ATM atau melalui online.
8) Bilakah masa dan tarikh anda membuat pembayaran :
9) Jenis pakej. Pakej RM100 atau Pakej RM50

Kak Ain akan kumpul dan menghantar tempahan pada setiap Isnin dan Khamis. Tarikh tutup pembelian adalah pada 15 April 2010. Kak Ain mengucapkan terima kasih kerana sudi membeli terus dari Kedai Pink AinMaisarah.



Hanya ada 80 naskah IMPIANA 3 di dalam tangan Kak Ain, oleh itu jangan tunggu lama-lama. Siapa bayar dahulu, Kak Ain hantar dahulu. Kali ini tidak boleh buat tempahan.

Wasalam
AinMaisarah

ps :

Kak Ain juga akan mula menghantar tempahan-tempahan lain terutama novelcomel dan pembelian lain mulai minggu hadapan. Jika ada telah membuat pembayaran tetapi belum menerima buku, sila emelkan ke syaizul@meta-dome.com

29 March 2010

Berakhirlah Pesta Buku 2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Semalam, 28 Mac 2010, secara rasminya tamatlah sudah 10 hari Pesta Buku Antarabangsa di PWTC. 10 hari berpenat lelah, bertungkus-lumus dan berkampung di gerai... segalanya betul-betul terbayar apabila dapat berjumpa para pembaca yang sudi bertemu Kak Ain.

Inilah gambar terakhir Kak Ain di hadapan Kedai Pink AinMaisarah.




Berposing dengan Kartunis Ubi yang bertanggungjawab melukis watak-watak tujuh The Wannababes (Kartunis Ubi berdiri di sebelah Kak Ain) Sempat juga bergambar dengan Kartunis Tembakau yang glamor dengan siri Kartini (memakai baju merah dan berdiri sebelah Cik Abang). Terima kasih Kartunis Tembakau kerana sudi singgah menjadi pengunjung terakhir gerai kami.

Sebenarnya banyak sangat kisah dan cerita menarik yang Kak Ain mahu kongsikan bersama. InsyaAllah Kak Ain akan tuliskan laporan panjang lebar tentang Kedai Pink AinMaisarah di PWTC.

Tapi malam ini Kak Ain dan Cik Abang sudah berjanji mahu merehatkan diri. Treat ourself after all the hard work. Jadi malam ini mahu makan ketam butter dan kemudian tengok wayang! Yeay! =D

Hmmm... Cik Abang kata mesti keluar rumah pukul 8.30 malam. Kak Ain curi masa sekejap masukkan entri baru ini.

Kak Ain masukkan dahulu gambar-gambar ketika mengemas gerai ya. Sedih sungguh melihat papan tanda gerai diturunkan.




Buku-buku juga mesti dikemaskan dan dimasukkan ke dalam kotak supaya senang diangkat.




Paling susah adalah membawa meja-meja dan kerusi-kerusi yang berat sekali.




Segala kerja-kerja mengemas perlu dilangsaikan dalam masa lima jam. Kami diberi masa pukul 9.00 pagi hingga 2.00 petang bagi mengosongkan gerai. Dalam pada kami mengemas, datang pula kumpulan kontraktor yang mahu mencabut segala dinding-dinding dan wayar-wayar gerai.




Inilah keadaan dewan pameran di PWTC setelah semua gerai-gerai siap mengemas barang-barang dan segala dinding pemisah sudah diturunkan.




Selepas selesai segalanya, barangan dimasukkan dalam lori. Oh! Kak Ain tiada lori jadi lori perlu disewa. Segala barangan kemudiannya dihantar ke rumah Kak Ain. Haih! Sekarang ini rumah Kak Ain memang penuh dengan segala jenis buku!

Malam ini... entah kenapa, rasa lega kerana segala urusan Pesta Buku sudah selesai ini turut bercampur-baur dengan rasa sedih yang tidak terhingga. Kak Ain terfikir-fikir sendiri, adakah tahun depan Kak Ain patut meneruskan Kedai Pink AinMaisarah ketika Pesta Buku 2011?

Memang seronok berjumpa pembaca dan mempunyai gerai sendiri ketika Pesta Buku. Tetapi bukan sedikit modal, tenaga dan masa yang perlu dilaburkan. Mujur Kak Ain ada sokongan kuat Cik Abang, Kak Izanor Sharif dan adik-beradik Cik Abang yang membantu sepanjang 10 hari.

Tahun hadapan, tahun 2011, adakah para pembaca AinMaisarah masih mahu bertemu Kak Ain di Pesta Buku? What say you?

Salam Sayang,
AinMaisarah

28 March 2010

Hari Terakhir Pesta Buku 2010 ~ Hari Terakhir Kedai Pink AinMaisarah di PWTC

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Just a short entry. Kak Ain letih sangatlah. =(

Buat pengetahuan semua, hari ini adalah 28 Mac 2010.

Hari Ahad ini merupakan hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa PWTC. Ini bermakna, hari ini hari terakhir Kak Ain akan berkampung di PWTC. Hari terakhir juga Kedai Pink AinMaisarah boleh dilawati. Alaaaa.... sedihnya!

Kepada para pembaca di sekitar kawasan Kuala Lumpur dan Selangor, janganlah lepaskan peluang ini. Kak Ain sendiri tidak tahu, bila lagi Kak Ain boleh buat promosi secara besar-besaran begini. Bila lagi masanya boleh berjumpa dengan para pembaca dan mengadakan sesi bertemu begini.

Kak Ain nak jumpa seberapa ramai pembaca AinMaisarah. Kak Ain mahu ambil gambar kenang-kenangan yang akan menjadi memori hidup kita sampai bila-bila.




Oleh itu... jomlah semua! Singgah ke PWTC buat terakhir kalinya. Jumpa AinMaisarah di PWTC. Cari Kedai Pink AinMaisarah ya!

Mesti salin info gerai supaya memudahkan pencarian:

Gerai C20
Dewan Tiga
Tingkat 1
Berhadapan SASBADI

Pada esok hari juga... hadiah paling utama iaitu TEDDYBEAR GERGASI akan dilepaskan. Siapakah pemenangnya? Kak Ain sendiri berdebar mahu tahu.

Teddybear ini memang gergasi sungguh! Hinggakan duduk di dalam kereta, teddybear ini kepalanya mencecah bumbung!




Harganya pula RM1000! Haaa... jangan lepaskan peluang. Datanglah esok ke Kedai Pink AinMaisarah. Buat pembelian buku, cabut ang pow pink AinMaisarah dan manalah tahu... boleh bawa balik teddybear ini!

Esok juga hari terakhir para pembaca berpeluang memiliki koleksi merchandise AinMaisarah dan The Wannababes. Koleksi ini teramat istimewa kerana ianya tidak dijual di mana-mana kedai buku. Hanya ekslusif boleh didapati di Kedai Pink AinMaisarah PWTC. Dan esok adalah hari terakhir bagi mendapatkannya!




Paling menjadi kegilaan adalah kotak hitam The Wannababes. Sebenarnya Kak Ain tempah 1000 kotak. Tetapi sekarang tinggal 250 kotak sahaja. Itupun Kak Ain akan simpankan 100 kotak kepada pembeli-pembeli online di luar KL dan Selangor (jualan hanya akan dibuka apabila diberitahu kelak ya)




Memang macam-macam perkara best yang menanti di Kedai Pink AinMaisarah.

Esok hari terakhir untuk semua para pembaca bertemu Kak Ain. Esok Kak Ain akan berada di gerai pukul 10.00 pagi hingga 9.00 malam.

Jumpa Kak Ain di PWTC!

Salam Sayang,
AinMaisarah

24 March 2010

Kedai Pink AinMaisarah di PWTC ~ Ada 5 Hari Lagi!

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Sebenarnya Kak Ain penat dan letih sangat. Sudah lima hari berkampung di PWTC. Tahun ini buat pertama kalinya, Kak Ain ada gerai sendiri di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Dicelah-celah semua penerbit buku dan penjual buku, AinMaisarah menjadi penulis novel yang membuka gerai sendiri.

Bermula 19 Mac 2010 sehinggalah 28 Mac 2010, Kak Ain akan setia menunggu kehadiran pembaca di PWTC. Walaupun letih terus-terusan berada di PWTC selama 5 hari lepas, Kak Ain masih mampu tersenyum gembira.

Melayani para pembaca, berbual mesra, memasukkan sendiri buku yang dibeli ke dalam plastik... adalah sesuatu yang sangat 'satisfying' dan 'rewarding'. Tak dapat Kak Ain gambarkan perasaan ini!




Bercerita mengenai Kedai Pink AinMaisarah, Kak Ain menyewa dua buah gerai. Gerai itu dihias dengan warna padanan putih dan pink. Buat pengetahuan, semua langsir putih dan pink, Kak Ain gantung sendiri! Huh! Memang terasa macam nak menyambut hari raya di PWTC!

Kedai Kak Ain juga dinobatkan sebagai gerai paling pink di Pesta Buku! Ini sedikit gambar sneak preview, rupa Kedai Pink AinMaisarah di PWTC.



Mahu lihat rupa keseluruhan gerai? Mestilah datang PWTC sendiri! ;D

Selain hiasan gerai berwarna pink, Kak Ain juga menyediakan hadiah-hadiah comel berwarna pink juga. Seahorse pink memang menjadi kegilaan semua kerana kecomelannya yang berada pada tahap maksima. Ramai benar pengunjung lalu-lalang yang mahu membeli seahorse tersebut. Tetapi Kak Ain memang tidak menjualnya. Ianya diberikan secara percuma kepada pembeli bertuah yang resit pembeliannya terpilih. Setakat ini, Kak Ain sudah membebaskan enam ekor seahorse kepada pemilik baru. Moga-moga semua seahorse dijaga dengan baik! Jangan buli-buli seahorse itu ya!




Selain seahorse, ada 10 ekor teddybear Jepun yang menanti untuk dimenangi. Setakat ini, sudah ada dua orang pemenang yang berjaya membawa teddybear kepala besar ini pulang. Sedih juga Kak Ain mahu berpisah dengan teddybear kerana sebelum ini semua teddybear tidur dengan Kak Ain. Huhuhu =(




Apalagi yang menarik? Di Kedai Pink AinMaisarah kali ini, Kak Ain memperkenalkan barisan merchandise barangan The Wannababes. Ada profail The Wannababes. Keychain dan button badge The Wannababes. Ada juga semua koleksi lengkap novelcomel.

Paling-paling ditunggu semua tentulah... IMPIANA III. Ya! Impiana III edisi manuskrip asal boleh didapati secara eksklusif di Gerai Pink AinMaisarah. Tetapi hanya ada 500 manuskrip sahaja. 500 pembaca yang menerima manuskrip ini juga mestilah membantu Kak Ain dengan memberitahu perasaan sebenar mereka apabila membaca manuskrip terakhir siri IMPIANA itu. Sekarang Kak Ain sedang berdebar-debar menunggu dan mengumpul respons para pembaca mengenai IMPIANA III.




Setiap pembelian RM50 ke atas juga akan menerima kotak eksklusif lagi elegan berwarna hitam ini. Kak Ain hanya tempah 1000 kotak. Hampir separuh sudah habis. Jadi jika mahu memilikinya, datang cepat-cepat Gerai Pink AinMaisarah!




Inilah gambar kotak hitam yang cantik itu. Amirah dan Afiqah, dua pembaca AinMaisarah berbelanja lebih RM100 nampaknya di Kedai Pink AinMaisarah kerana mereka mendapat dua kotak hitam tersebut!

Selain itu, tentulah ketika Pesta Buku ini... Kak Ain akan memenuhi permintaan menandatangan buku-buku para pembaca. Jangan tak tahu, sejak 5 hari lepas... jari-jemari Kak Ain boleh kurus dibuatnya kerana sudah menandatangan beratus-ratus buah buku!




Mujur ada Kak Izanor Sharif. Kak Izanor, penulis bersama AinMaisarah untuk novel Aku Mahu Superbibik turut turun padang. Sama-sama lenguh jari-jemari menandatangan buku pertamanya bersama Kak Ain. Jadi para pembaca juga boleh berjumpa dan berkenalan dengan Kak Izanor Sharif.




Paling menyeronokkan, kita boleh bergambar kenang-kenangan seperti ini:




dan begini:




Pendek kata, bergambar dengan bermacam-macam jenis gaya posing pun tak mengapa. Kak Ain sanggup untuk pembaca semua! =D

Sememangnya setiap gambar bersama pembaca membuatkan Kak Ain berasa amat bersyukur memilih kerjaya penulisan sebagai laluan hidup AinMaisarah. Kak Ain rasa sangat-sangat disayangi. Kak Ain rasa sangat-sangat dihargai. Terima kasih kepada semua pembaca AinMaisarah yang sudah datang memberi sokongan dan berkenalan dengan Kak Ain.

Kalau boleh, Kak Ain mahu bertentang mata dengan RAMAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAI lagi pembaca buku AinMaisarah. Kak Ain mahu dengar komen semua. Kak Ain mahu mendekati semua pembaca dengan lebih mesra. Oleh itu, datanglah ke PWTC. Ada 5 hari lagi Kak Ain akan terus berkampung di sini.

Jika mahu datang, catitlah info tentang Gerai Pink AinMaisarah. Nanti jika tidak jumpa atau sesat, bolehlah bertanya kepada pengawalselia yang bertugas di Pesta Buku.

Gerai C20
Dewan Tiga
Tingkat 1
Berhadapan SASBADI

Selepas ini, jika mahu berjumpa AinMaisarah... hanyalah di sekolah-sekolah yang terpilih dalam Program Jelajah Sekolah AinMaisarah. Sebelum ini ramai marahkan Kak Ain kerana memilih sekolah tertentu sahaja. Sekarang ini, semua orang boleh jumpa Kak Ain. Kak Ain memang ada di Kedai Pink AinMaisarah di PWTC selama 5 hari lagi.

Okeylah, dalam penat-penat... panjang juga jadinya bila AinMaisarah mula menaip.

Kak Ain harap sangat dapat bertemu dengan ramai lagi pembaca. Kak Ain tunggu di PWTC ya!

Salam Sayang,
AinMaisarah

06 March 2010

Aku Mahu Superbibik di Pesta Buku PWTC 2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Entri kali ini, Kak Ain ingin kongsikan buku terbaru yang bakal menjenguk pasaran. Buku kesinambungan siri Aku Mahu akhirnya disambung kembali.

Kak Ain harap para pembaca ingat lagi buku-buku terdahulu dalam siri Aku Mahu seperti Aku Mahu Popular, Aku Mahu Saiz S, Aku Mahu Teman Tapi Mesra, Aku Mahu Buli dan Aku Mahu ke New York 1 & 2. Kali ini Kak Ain bergabung tenaga dengan Kak Izanor Sharif untuk menghasilkan Aku Mahu Superbibik! =D

Sebaik mendapat kulit bukunya, Kak Ain terus jatuh suka. Kak Ain harap pembaca juga menyukai buku ini.



Kali ini watak utamanya Ina dan Fasha The Wannababes. Harap nukilan cerita Aku Mahu Superbibik mampu memikat hati pembaca untuk mendapatkan novel terbaru yang akan keluar betul-betul ketika Pesta Buku PWTC nanti.

Jom... jom... jom! Kita baca sedikit sedutan sinopsisnya!


“Saya mahu bibik yang pandai gubah bunga, baiki paip, fasih cakap bahasa Inggeris, boleh menjahit dan ada lesen memandu serentak!” Beritahu Ina yakin.

“Amboi, tingginya impian awak! Bibik pun manusia biasa macam kita semua. Bukannya Superman!” Farah tersentak.

“Superman?” Ina mengulang perkataan itu. “Betul cakap awak, Farah! Bibik memang manusia biasa. Tapi saya tak mahu yang biasa-biasa. Saya mahu bibik yang hebat dan luar biasa! Saya mahu seorang Superbibik!”

Itulah impian Shazarina! Memiliki seorang bibik sempurna. Demi mencapainya, dia sanggup melakukan temuramah ala-ala mencari peserta rancangan realiti TV. Hanya yang benar-benar layak akan diambil bekerja!

Demam pencarian bibik juga tersampuk kepada kumpulan The Wannababes. Tambah lagi, Shasha kini mempunyai tiga orang bibik serentak. Itu membuatkan Fasharina bt Tan Sri Hisham, ketua The Wannababes rasa tercabar. Fasha yang punya dua orang bibik bertekad menyamai kehebatan Shasha! Fasha mesti mempunyai tiga bibik juga! Itu trend terkini orang kaya-kaya!

Apakah kesudahan pencarian bibik oleh Ina dan Fasha? Ketahui kesudahannya dalam novel Aku Mahu Superbibik!


Haaa... macam mana? Okey tak cerita ini? Mesti dapatkan kerana di dalamnya ada banyak kisah-kisah lucu yang membabitkan Ina, Farah dan Fasha The Wannababes!

Buat pengetahuan semua, buku ini akan mula dijual di Kedai Pink AinMaisarah sempena Pesta Buku Antarabang PWTC pada 19 Mac - 28 Mac. Kak Ain dan Kak Izanor juga akan berada di Kedai Pink AinMaisarah setiap hari dari jam 9 pagi hingga 9 malam untuk menandatangani buku ini.

Oleh itu, Kak Ain ingin menjemput semua pembaca Rumah Pink AinMaisarah ke PWTC, carilah dewan 3 dan booth bernombor C20. Ini adalah peta di dalam dewan 3, PWTC.




Jangan lupa pujuk ibubapa, rakan-rakan sekelas untuk datang bertemu Kak Ain di Kedai Pink AinMaisarah. Inilah masanya mahu jumpa Kak Ain dan Kak Izanor! =D

Salam Sayang,
AinMaisarah

05 March 2010

Hari Ini AinMaisarah 28 Tahun! =O

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Hari ini 5 Mac 2010. Hari lahir kembali menjelma. Kak Ain semakin meningkat usia dan tahun ini genaplah 28 tahun Kak Ain merasa hidup di dunia.

Terima kasih Kak Ain ucapkan kepada semua pembaca novel AinMaisarah, rakan industri buku juga kenalan lama dan baru yang sudi menitipkan doa buat Kak Ain hari ini.


Laman Facebook AinMaisarah sejak dua hari lalu mula dibanjiri dengan beratus-ratus ucapan selamat. Kak Ain sememangnya cuba membalas satu per satu ingatan tersebut, namun nampaknya tidak terkejar. Oleh itu, Kak Ain ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga secara umum kepada semua. Segala ucapan yang diberi memang membuatkan Kak Ain tersenyum dan tersentuh. Terasa amat disayangi. Terasa amat dihargai. Huhuh... rasa mahu menangis pun ada!

Kepada insan yang bertanggungjawab melahirkan AinMaisarah ke dunia, inilah wajah ibu Kak Ain yang sangat-sangat Kak Ain kasihi. Kak Ain sentiasa berdoa semoga Allah panjangkan umurnya dan berikan kesihatan berpanjangan untuknya. Moga Kak Ain dapat membalas segala jasanya melahirkan dan membesarkan Kak Ain. Kak Ain tak sempat melakukannya untuk arwah abah, malah arwah abah tidak sempat melihat buku pertama AinMaisarah iaitu 'Aku Mahu Popular' diterbitkan. Moga arwah menerima pembalasan jasanya membanting tulang sebagai ayah di akhirat kelak. (Hmm... sudah mood sedih pula entri ini)


Kepada tulang belakang jenama AinMaisarah iaitu Cik Abang, suami merangkap pengurus Kak Ain... TQ SO MUCH FOR EVERYTHING.



Cik Abang adalah orang yang bertanggungjawab menjadikan Kak Ain seorang penulis dan memberi semangat supaya terus berkarya. Alhamdulillah, sehingga entri ini ditulis, Kak Ain sudah ada 12 buah novel yang dipamerkan di rak-rak buku seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei. Novel-novel AinMaisarah sudah dijual melebihi 100,000 naskah. Itu semua nikmat kurniaan Ilahi yang tidak terperi.

Kak Ain sememangnya mengharapkan doa semua agar AinMaisarah terus bertahan dalam bidang penulisan ini. Menulis beribu-ribu perkataan selama beberapa tahun lagi. Jauhkan perasaan bosan dari hati. Tingkatkan produktivi dan kreativiti.

InsyaAllah, Kak Ain sasarkan sebelum umur 30 tahun... Kak Ain sudah ada 20 buah novel di pasaran. Harapnya tercapailah impian Kak Ain ini. Doakan bersama-sama ya!

Terima kasih sekali lagi atas doa, ucapan, ingatan dan harapan. Moga-moga dimakbulkan.

Salam Sayang 5 Mac 2010,
AinMaisarah

25 February 2010

Five Before Seven. Brunei, here I come.

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Just a quick update.

Tika saat entri ini ditulis, Kak Ain sedang melakukan lima kerja serentak sebelum jam 7 pagi esok :

1) Kemas ubat-ubatan, syampu BA WANG (Kak Ain sudah memakai dua botol syampu ini dan menyukainya!) pencuci muka, segala barang mekap, berus gigi dan kawan baiknya iaitu Darlie untuk ke Sarawak dan Brunei.


2) Basuh baju untuk ke Sarawak dan Brunei (ya... memang baju yang mahu dipakai belum dibasuh dan secara automatiknya rumah Kak Ain bertukar jadi kedai dobi malam ini!) Kemudian tunggu baju kering. Lipat baju dan seterika apa yang perlu sebelum dikemaskan masuk ke dalam beg.


3) Membaca kembali manuskrip penuh Impiana III dan memastikan semua jalan cerita selari dengan novel terdahulu iaitu Impiana I dan II. Kak Ain perlu hantarkan manuskripnya malam ini juga =(


4) Pakai mask untuk memastikan mata panda Kak Ain yang tak cukup tidur sepanjang minggu kembali segar bugar macam mata kucing. Selepas itu perlu pakai pore pack di hidung!



5) Cari pasport yang hilang entah ke mana! (okey... sudah boleh bertenang sebab sudah jumpa pasportnya)

Haaa... inilah situasi yang Kak Ain hadapi sekarang. Rasa macam nak tergolek-golek selesaikan semua perkara dan tugasan. Esok pula penerbangan ke Miri pukul 7.00 pagi. Kak Ain perlu berada di lapangan terbang pukul 6.00 pagi. Ini bermakna Kak Ain mesti bertolak dari rumah pukul 5.00 pagi. Aduh! Awalnya dan Kak Ain sudah serta merta terasa stress tahap maksima!

Fuuuuuuuh.... bertenang. Tarik nafas. Hembus nafas. Fuuuuuuh..... Kak Ain memang tak boleh stress sangat, nanti tumbuh jerawat!

Oh! Kepada sesiapa yang belum tahu, sebenarnya Kak Ain dan Kak Yayah akan berada di Sarawak dan Brunei pada hujung minggu ini. Inilah dua aktiviti yang kami akan sertai.

Di Miri, Sarawak:

Tarikh: 26 Februari 2010 (Jumaat)

Masa: 12.00 pm - 2.00 pm

Tempat: POPULAR, Bintang Mega Mall, Miri Sarawak



Di Pesta Buku Antarabangsa, Brunei.

Tarikh: 27 dan 28 Februari 2010

Masa: 2.00 pm -4.00 pm

Tempat: Gerai Paul & Elizabeth, Brunei Indoor Stadium




Kak Ain harap dapat berjumpa dan bertemu muka dengan pembaca-pembaca novel remaja terbitan PTS. Jomlah, orang Miri dan Brunei. Jumpa AinMaisarah dan Farihah Iskandar!

Doakan kami selamat pergi dan balik ya! Jaga diri semua! =D

Salam Sayang,
AinMaisarah
p/s: InsyaAllah nanti Kak Ain ambil gambar banyak-banyak untuk dimasukkan ke dalam blog dan Facebook.

12 February 2010

DAPATKAN PEK BERKEMBAR BSB : PRS dan JRS

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca Rumah Pink AinMaisarah.

Kak Ain ada menyimpan 100 pek berkembar Buletin Sri Bangsar (BSB) : Perang Rumah Sukan (PRS) dan Juara Rumah Sukan (JRS).

Kepada sesiapa yang membeli pek ini daripada Kak Ain, Kak Ain akan tambah lagi barangan istimewa didalamnya iaitu 2 buku latihan Sekolah Sri Bangsar yang bernilai RM3.00 secara percuma.


Harga 1 pek berkembar ini : RM30
Harga pos laju : RM7

Jumlah harga yang perlu anda bayar adalah RM37 untuk satu pek berkembar.


LANGKAH 1 : BUAT PEMBAYARAN DAHULU

1) Jika anda memilih membuat bayaran secara bank-in, sila ke kaunter Maybank ataupun cari mana-mana ATM Maybank. Masukkan wang ke dalam akaun ini :

Rev Teen Enterprise - No Akaun Maybank : 514712301053

2) Jika anda memilih membuat bayaran online atau melalui Maybank2u. Masukkan wang online ke dalam akaun ini :

Rev Teen Enterprise - No Akaun Maybank : 514712301053

3) Jika anda memilih untuk membuat bayaran menggunakan wang pos. Sila ke pejabat pos berhampiran. Beli wang pos yang sama nilai dengan jumlah yang perlu dibayar. Tuliskan nama Syaizul Amal Zulkaffly di ruangan "bayar kepada". Kemudian hantarkan wang pos bernilai RM37 tersebut kepada kami di alamat :

Ain Maisarah
6-14-1,
Kondo Danau Permai,
Taman Danau Desa,
Off Jalan Klang Lama,
58100, Kuala Lumpur

LANGKAH 4 : HANTAR EMAIL KEPADA syaizul@meta-dome.com

Selepas membuat pembayaran, anda perlu menghantar emel kepada kami di syaizul@meta-dome.com

Ini maklumat yang kami mahukan di dalam emel tersebut.

1) Nama sebenar anda :
2) Nama yang mahu di tulis di atas novel :
3) Alamat penuh rumah anda :
4) Poskod rumah anda :
5) No telefon :
6) Berapa jumlah bayaran yang telah anda buat : 1 pek hanya RM37.
7) Kaedah pembayaran anda : Melalui ATM atau melalui online atau melalui wang pos.
8) Bilakah masa dan tarikh anda membuat pembayaran :


Jika anda memilih membayar melalui cek ataupun wang pos. Kami akan maklumkan apabila menerima cek dan wang pos tersebut melalui e-mel anda.

Setelah menerima bukti pembayaran, Kak Ain akan menandatangani buku dan menghantar melalui pos laju. Kak Ain akan kumpul dan menghantar tempahan pada setiap Isnin dan Khamis.

Tarikh tutup pembelian adalah pada 7 Mac 2010.

Pihak Kedai Pink AinMaisarah HANYA membuka jualan kepada PEK BERKEMBAR.

Kak Ain mengucapkan terima kasih kerana sudi membeli terus dari Kedai Pink AinMaisarah.

Wasalam
AinMaisarah

09 February 2010

Novel Perang Rumah Sukan & Juara Rumah Sukan Siap Dicetak!

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Fuh! Fuh! Fuh! Kak Ain tiupkan terlebih dahulu laman web AinMaisarah yang bersawang ini! Hehehe.... Kak Ain minta maaf banyak-banyak pada para pengunjung Rumah Pink sekalian. Kak Ain sudah lama tidak memasukkan entri baru kerana setiap masa yang berharga, Kak Ain salurkan untuk menyiapkan manuskrip Impiana III yang mencabar sekali proses penulisannya.

Oleh itu, Kak Ain lebih senang memasukkan gambar baru di dalam akaun Facebook AinMaisarah dan meletak caption yang pendek-pendek sahaja. Haaa... siapa belum sertai, mari-mari bersahabat dengan Kak Ain di Facebook ya!

Okey, entri ini sebenarnya ditulis bagi mengumumkan secara rasminya kemunculan buku AinMaisarah yang ke-11 dan ke-12.



Akhirnya! Penantian Kak Ain mahu melihat buku berkembar Perang Rumah Sukan dan Juara Rumah Sukan terlerai petang tadi. Sebaik mengetahui dua buku tersebut siap dicetak dan sudah masuk stor PTS, Kak Ain terus ajak Cik Abang ke Batu Caves pada ketika dan saat itu juga. Mujur jalanraya pun lengang, bagaikan memberi laluan mudah kepada kereta kami. Dada langit pun cerah. Angin turut bertiup sepoi-sepoi bahasa. Seperti seluruh alam turut menyambut kelahiran buah tangan AinMaisarah yang terbaru ini =D Ceh! Over!



Sebaik memasukkan stok 100 set berkembar dalam kereta, Kak Ain terus bergambar dengan dua buku terbaru ini. These are my babies! Kembar gitu!

Inilah hasil penat lelah Kak Ain menulis dan setiap kali terbitnya buku baru, Kak Ain memang akan tersenyum panjang satu hari satu malam!

Haaa... buat pengetahuan semua pembaca, pakej buku berkembar Perang Rumah Sukan & Juara Rumah Sukan berharga RM30. Apabila membeli pakej set box ini, para pembaca akan mendapat item berikut:

1) Novel Perang Rumah Sukan



2) Novel Juara Rumah Sukan



3) Buletin Sri Bangsar Jilid 02 (percuma)
~ Inilah buletin bulanan yang dihasilkan oleh Betty dan kumpulan sidang redaksi. Boleh baca 16 mukasurat laporan kejadian sepanjang sukan Sekolah Sri Bangsar



4) Kipas tangan Sekolah Sri Bangsar (percuma)
~Boleh dipakai untuk berkipas ketika bersukan di sekolah. Ala-ala tujuh The Wannababes yang tidak tahan panas tuuu ;D



5) Sticker Sekolah Sri Bangsar (percuma)
~Ini pertama kali Sekolah Sri Bangsar ada sticker lencana dan empat lambang rumah sukannya sendiri. Kak Ain suka! =D


Ada 5000 set terhad yang diberikan item-item percuma di atas. Setelah habis set box, maka buku perlu dibeli secara berasingan pada harga RM15 setiap satu. Tetapi tiada lagilah item percuma!



Jadi mesti rebut cepat-cepat 5000 set terhad ini!

Kepada para pembaca yang mahu membeli terus buku ini dari Kak Ain secara online, Kedai Pink AinMaisarah akan dibuka semula pada hari Jumaat. Nanti Kak Ain akan masukkan satu entri khas tentang hal pembelian buku ya!

Kepada para pembaca yang mahu dapatkan di kedai buku MPH dan POPULAR, Kak Ain difahamkan bahawa dua buku baru ini akan mula diedarkan minggu hadapan ke kedai-kedai buku seluruh Malaysia.

Jangan lupa dapatkan buku sambungan kisah Betty, Wilma serta warga Sekolah Sri Bangsar! Kumpulkan kesemua 12 siri ya!



Okey semua, sampai sini dahulu perkembangan alam penulisan AinMaisarah. Jumpa lagi!

Salam Sayang,
AinMaisarah

02 January 2010

Memperkenal Izanor Sharif - Penulis Bersama AinMaisarah

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kak Ain doakan semoga semua pengunjung Rumah Pink AinMaisarah berada dalam keadaan sihat sejahtera serta bersemangat di awal tahun 2010 ini.


Kak Ain sendiri memulakan tahun 2010 dengan satu lagi projek baru yang sudah ada hitam putihnya. Semalam pada tarikh 1 Januari 2010, Kak Ain ke Seremban untuk berjumpa dengan Kak Izanor Sharif.



Kak Izanor merupakan penulis bersama AinMaisarah dalam novel 'Aku Mahu Superbibik'. Alhamdulillah, manuskrip tersebut sudah siap dan melihat kepada keserasian bekerja, Kak Ain menawarkan Kak Izanor untuk menjadi penulis bersama secara tetap.


Semalam juga, Kak Ain menyerahkan prolog manuskrip dongeng terbaru bertajuk 'Cinderellah vs Rapunzelah' kepada Kak Izanor. Selepas ini Kak Izanor bertanggungjawab memanjangkan dan melengkapkan cerita tersebut. Harapnya buku tersebut sempat siap sebelum Pesta Buku 2010.


Pada tahun 2010 ini, kami sasarkan mengeluarkan lima tajuk bersama-sama. Oleh itu, nama Izanor Sharif akan menjadi nama yang akan tertera di depan cover buku-buku remaja bersama nama AinMaisarah juga.


Sekarang ini, laman web Kak Izanor sedang dibina bagi membolehkan para pembaca berinteraksi dengannya juga. Sementara menunggu laman web Kak Izanor siap dibina, Kak Ain ingin mengajak semua pembaca AinMaisarah menambah Kak Izanor sebagai rakan di dalam Facebook. Sila klik di sini untuk 'add as friend' akaun Kak Izanor ya!


Kak Ain juga baru mendapat berita bahawa dua orang pembaca AinMaisarah yang Kak Ain kenali sejak tahun 2007 sudah mula mengikut jejak langkah AinMaisarah menjadi novelis juga.


Pembaca pertama yang sudah menulis walaupun baru berumur 13 tahun adalah Cik Adik Farihah. Farihah baru sahaja selesai menulis manuskrip 'Puteri Piano' yang bakal diterbitkan di bawah penerbitan PTS One.



Pembaca kedua pula adalah Cik Adik Fatin Hanani. Umurnya 15 tahun dan Kak Ain baru sahaja menerima mesej terbaru tentang perkembangan dirinya yang sudah menulis novel juga.



Kak Ain apa khabar? Fatin sihat-sihat je. Lama tak berbalas emel dengan Kak Ain. Fatin tahu Kak Ain sibuk. Fatin cuma nak beritahu Kak Ain, Fatin dah pun menulis sebuah buku. Tajuknya ialah Gelagat Si Kembar dan diterbitkan oleh Karnadya Solutions Sdn. Bhd. Di kesempatan ini juga, Fatin nak ucapkan selamat tahun baru untuk kak Ain. Semoga tahun 2010 menjanjikan seribu satu kenangan manis buat kak Ain. Terima kasih kerana menjadi novelis kegemaran Fatin selama ni.



Pada masa yang sama, Kak Ain dan Kak Ann (editor PTS Pro) sedang merancang sebuah projek mengumpulkan hasil penulisan pelajar-pelajar Sekolah Sri Bangsar di bahagian Penulisan Kreatif forum www.sekolahsribangsar.com



InsyaAllah, cerpen-cerpen terbaik akan diterbitkan menjadi sebuah novel kompilasi. Jadi kepada pembaca buku AinMaisarah yang punya cita-cita menulis novel, apakata mulakan langkah dengan menghasilkan cerpen di bahagian Penulisan Kreatif SSB.


Kak Ain doakan para pembaca yang mahu mengorak langkah menjadi penulis dapat memulakan inisiatif tahun 2010 ini. Kak Ain harapkan pada masa akan datang, Kak Ain dapat memilih penulis bersama AinMaisarah yang terdiri daripada pembaca-pembaca novel Kak Ain sendiri.


Ini adalah satu perkembangan yang sangat positif dan Kak Ain percaya kemunculan bakat-bakat muda ini akan mewarnai lagi bidang penulisan di Malaysia.


Salam Sayang,

AinMaisarah


01 January 2010

Rentetan Diari AinMaisarah Tahun 2009

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Semoga sihat dan ceria di hari pertama tahun 2010.

Mengimbas kembali memori, tahun 2009 ini merupakan tahun paling bermakna buat AinMaisarah. Menjalani hidup sebagai seorang penulis buku remaja, tahun ini rasanya Kak Ain banyak mencuba projek baru. Alhamdulillah, kebanyakan projek itu berjaya walaupun bukan sedikit usaha, wang dan masa yang perlu dilaburkan untuknya.

Entri kali ini, Kak Ain cuba kongsikan bersama rentetan diari AinMaisarah sepanjang 2009.

(1) Kak Ain paling tak boleh lupa Majlis Pelancaran Buku BSB ketika di Pesta Buku 2009, PWTC. Ianya berlangsung bulan April 2009.


Majlis itu dihadiri lebih 200 orang pembaca. Sampai penuh melimpah-ruah tak boleh masuk dewan dibuatnya!


Waktu itu juga, buat julung-julung kalinya laman web Sekolah Sri Bangsar di www.sekolahsribangsar.com dilancarkan. Pembinaan laman web ini menelan belanja yang besar kerana Kak Ain membayar sendiri kos server, kos programmer dan kos desainer untuk merealisasikan laman web tersebut.

Namun ternyata ianya amat berbaloi. Setelah 8 bulan dibuka, sudah ada 7228 pembaca buku yang mendaftar di situ. Dalam hati Kak Ain selalu berangan-angan, bilalah boleh dapat royalti berjuta-juta? Kak Ain nak beli tanah dan bina bangunan Sekolah Sri Bangsar yang sebenar. Ianya akan jadi sebuah sekolah bakat merangkap perpustakaan stylo untuk remaja. Jadi para remaja di luar sana ada tempat lepak yang lebih berfaedah dan positif suasananya.

Harap semua pembaca doakan Kak Ain cepat jadi jutawan supaya boleh buka Sekolah Sri Bangsar yang sebenar ya! Amin =D

(2) Tahun 2009 juga menyaksikan Kak Ain mendapat tempat kedua dalam kedudukan carta pencapaian royalti penerbit PTS Sdn. Bhd. Alhamdulillah, antara 300 penulis PTS... Kak Ain dapat tempat kedua. Heheh. Macam keputusan peperiksaan pula!

TOP 30 Penerima Royalti

1. Dr. Danial Zainal Abidin

2. Ain Maisarah

3. Ainon Mohd

4. Farihah Iskandar

5. Abd. Latip Talib

6. Muhd. Kamil Ibrahim

7. Ezee Rahmani

8. Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad

9. Ashadi Zain

10. Ann Wan Seng

11. Ahmad Fadzli Yusof

12. Zaid Akhtar

13. Kusyi Hirdan

14. Dato' Dr. Haron Din

15. Muhd Rozani Pawan Chek

16. Ainin Naufal

17. Umi Kauthar

18. Dato' Dr. Fadzilah Kamsah

19. Shamsuddin Abd. Kadir

20. Dato' Seri Abd. Hadi Awang

21. Aizam Aiman

22. Salina Ibrahim

23. Natasya Effyzal

24. Razzi Armansur

25. Fred Suriya

26. Meor Shariman

27. Ahmad Naim Jaafar

28. Sunthara Segar

29. Mardzelah Makhsin

30. Umi Kalthum Ngah

Sememangnya ia satu pencapaian manis yang tidak dapat Kak Ain lupakan. Harapnya royalti tahun-tahun mendatang mencapai kedudukan positif sebegini juga.

(3) Tahun 2009 juga, sebaik menerima royalti hasil susah-payah menulis buku... Kak Ain buat pertama kalinya berkemampuan membeli rumah (atas nama Kak Ain sendiri). Ikutkan rumah Cik Abang, memang sudah ada dua buah. Tapi mempunyai rumah sendiri atas nama sendiri dan atas hasil duit sendiri memang berlainan perasaannya.


Rumah tersebut adalah rumah idaman Kak Ain. Sebuah kondo tiga bilik yang pemandangan balkoninya menghadap tasik dan menara berkembar KLCC. Jaraknya pula hanya 5 minit dari Mid Valley!

InsyaAllah, Kak Ain akan berpindah ke rumah baru itu pada bulan Februari 2010 setelah kerja-kerja pemasangan kabinet, lantai dan kertas dinding selesai dilakukan. Aduhai! Tak boleh nak bayang kepenatan pindah rumah dan Cik Abang pula pindah pejabat serentak! Kak Ain selalu mohon agar kesihatan tubuh badan berada pada tahap terbaik untuk menghadapi semua ini.

(4) Tahun 2009 juga, buat pertama kalinya Kak Ain menembusi pasaran sekolah dengan menjalankan projek Program Jelajah Sekolah AinMaisarah. Terima kasih kepada Tuan Zain Aziz, pegawai PTS yang membuka ruang dan peluang Kak Ain mendapat jemputan ke sekolah.


Sekolah pertama yang Kak Ain jejaki adalah SMK (P) Raja Zarina, Klang. Selepas kejayaan menembusi sekolah pertama, Kak Ain terus diberi jemputan ke sekolah-sekolah sekitar KL dan Selangor. Ketika itu, Kak Ain sempat menjelajah ke 11 buah sekolah sebelum virus H1N1 melanda. Banyak sekolah ditutup. Kak Ain juga mengambil keputusan menghentikan seketika program ini kerana bimbang kesihatan terjejas dan takut-takut Kak Ain turut terkena tempiasnya.

InsyaAllah tahun 2010 nanti, penjelajahan akan diteruskan semula dan kali ini, ianya meliputi 40 buah sekolah terpilih di seluruh Semenanjung Malaysia. Bermula Januari 2010 dan berakhir Jun 2010, Kak Ain akan ke sekolah-sekolah untuk memperkenalkan buku-buku AinMaisarah, buku-buku penerbitan PTS dan mendekati para pembaca dengan lebih mesra.

Nampaknya Kak Ain akan sentiasa bangun awal kerana perlu bersiap sedia memberi ucapan di perhimpunan pada setiap pagi. Selalunya pukul 7.00 pagi, Kak Ain sudah menunggu di kantin sekolah.


Huhuh... terasa kembali menjadi seorang pelajar sekolah pula! Tak apa. Tak apa. Demi kejayaan masa depan, AinMaisarah mesti berusaha sekuat-kuatnya!

(5) Tahun 2009 juga, Kak Ain dilantik sebagai DUTA PTS. Selaku duta penerbit buku tersohor di Malaysia ini, Kak Ain diberikan kemudahan sebuah van pink yang diberi nama VAN PINK AINMAISARAH dalam setiap aktiviti promosi yang Kak Ain hadiri.


Sebuah Urvan Nissan telah dicat dengan warna pink iaitu warna yang begitu sinonim dengan branding AinMaisarah. Badan van itu juga dilekatkan sticker promosi. Ianya adalah gambar Kak Ain sendiri! Isk... besar sungguh gambarnya dan Kak Ain berharap gambar tersebut tidak nampak jerawat-jerawat jahat yang cuba mensabotaj!

Terima kasih PTS atas kesudian memberikan kemudahan van ini untuk kegunaan AinMaisarah. InsyaAllah, Kak Ain akan usaha sehabis mungkin membantu promosi buku-buku PTS di sekolah-sekolah!

Tak sangka angan-angan Kak Ain mahu memiliki sebuah van comel berwarna pink kini dapat direalisasi!


Ini gambar kenangan AinMaisarah dengan sebuah van pink yang sudah diubah imej menjadi begitu gedik sekali. Kak Ain suka! InsyaAllah VAN PINK AINMAISARAH juga akan jadi segedik ini. Nantikan kemunculannya mengiringi Kak Ain dalam Program Jejalah Sekolah AinMaisarah di sekolah-sekolah seluruh Malaysia bermula tahun 2010 ini ya!


Sememangnya tahun 2009 merupakan tahun yang banyak mengukir senyuman. Kerjaya Kak Ain sebagai seorang penulis buku-buku remaja semakin mendapat perhatian pihak media, para pembaca dan industri buku Malaysia.

Semua ini tidak mungkin Kak Ain kecapi tanpa bantuan, dorongan dan motivasi yang tidak henti-henti oleh pengurus merangkap suami Kak Ain sendiri.


Khas untuk Cik Abang... You have been my strength in life and the key to my success. Thank you so much from the bottom of my heart!

Tidak lupa kepada para pembaca buku AinMaisarah, Kak Ain ucapkan terima kasih kerana terus-terusan menyokong tanpa henti. InsyaAllah tahun 2010 ini, ada banyak buku-buku baru AinMaisarah yang akan terbit dan muncul di pasaran. Jadi teruskan mengikuti perkembangan Kak Ain di rumah Pink ini dan juga di Facebook ye!

Mari kita berdoa bersama-sama agar tahun 2010 Masihi/1431 Hijrah ini menjadi tahun paling positif, produktif dan progresif untuk kita semua. Amin!

Salam Sayang,
AinMaisarah